|
KUALA LUMPUR:
Mengejutkan apabila satu pertandingan ratu
mak nyah dianjurkan secara tertutup di
sebuah hotel terkemuka di pantai timur
dengan berselindung di sebalik motif kerja
amal untuk membantu golongan kurang bernasib
baik.
Lebih menggemparkan, Metro Ahad
difahamkan, pertandingan Miss Malaysia 2010
membabitkan ratu dari seluruh negara itu
turut dihadiri golongan kenamaan bergelar
Datuk dan artis terkenal, Noraniza Idris
yang bertindak sebagai juri.
Penganjur dikatakan memilih negeri
berkenaan sebagai tuan rumah berikutan
kekaburan undang-undang syariah di negeri
itu untuk menghukum golongan mak nyah jika
berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di
khalayak.
Pertandingan ratu cantik mirip di Pattaya,
Thailand itu terbongkar selepas didedahkan
di beberapa laman web sejak Selasa lalu.
Susulan itu, wartawan Metro Ahad berjaya
menjejaki salah seorang peserta pertandingan
berkenaan untuk mendapatkan gambaran jelas
mengenai acara itu.
Lina (bukan nama sebenar) berkata, program
yang diadakan pada malam itu bertujuan
mengutip derma bagi badan dan pertubuhan
kebajikan di sekitar negeri berkenaan.
Katanya, pertandingan berkenaan diadakan
tahun lalu di sebuah hotel bertaraf empat
bintang di sebuah negeri di pantai timur.
Menurutnya, rata-ratanya disertai individu
beragama Islam dan kebanyakannya sudah
menukar jantina menerusi pembedahan dan
suntikan hormon.
“Kami tidak takut menyertai pertandingan itu
kerana pihak penganjur menjelaskan negeri
berkenaan tidak mempunyai undang-undang yang
boleh disabitkan kepada golongan mak nyah
mahupun penganjuran program berkenaan.
“Apapun, pertandingan ini bukan untuk
suka-suka saja, kami juga terbabit dalam
kerja amal. Dalam kata lain, sambil ‘enjoy’,
buat benda baik,” katanya.
Rakaman video selama 7 minit 10 saat itu
dimulakan dengan paparan temubual sebahagian
daripada 30 peserta yang mewakili negeri
masing-masing.
Menerusi penyertaan pertandingan ratu cantik
pondan itu, golongan terbabit dikatakan
berada di puncak impian apabila berpeluang
merubah diri menjadi wanita yang tampil
dengan gaya anggun dan menawan, selain
meraih pelbagai gelaran.
Berdasarkan rakaman video berkenaan,
rata-rata peserta pondan yang menyertai
pertandingan itu terdiri daripada remaja dan
berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Ketika acara berlangsung, tanpa segan silu
peserta menggayakan pelbagai gaun seksi dan
baju tradisional negeri masing-masing
lengkap dengan pelbagai aksesori sambil
berjalan ‘catwalk’ persis model dan cuba
mengikuti penampilan artis terkenal tanah
air.
Malah, wajah beberapa peserta seakan-akan
pelakon wanita popular dan antaranya ‘Rozita
Che Wan’ dan ‘Tiz Zakiah’.
Bagi menambah tarikan, pertandingan itu
turut menyelitkan acara nyanyian secara
‘miming’ sambil menari mengikut rentak lagu
yang disampaikan.
Selepas tamat pertandingan nyanyian, kelibat
Noraniza kelihatan menyanyikan lagu untuk
menghiburkan pengunjung, selain menjadi juri
pertandingan ratu cantik terbabit.
Pada penghujung acara, peserta dibahagikan
kepada beberapa kategori dan pemenang
gelaran Miss Malaysia 2010 itu diberikan
kepada peserta dari sebuah negeri di utara. |